Marquee

Sila dapatkan bahan kolokium di Menu Muat Turun

Kata Alu-Aluan



KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dengan izin dan kurnia-Nya, perancangan menganjurkan Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional dapat direalisasikan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh warga Institut Aminuddin Baki yang sangat komited dalam menjayakan kolokium yang dianjurkan buat kali ke-12 pada tahun 2018. Ucapan penghargaan juga saya tujukan buat semua pembentang kertas kerja atas sumbangan mereka dalam menjadikan kolokium ini sebagai medan perkongsian pengalaman dan cetusan idea ke arah menempa kejayaan dalam bidang pendidikan negara ini.

Sesungguhnya, tema kolokium pada kali ini iaitu, “Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad Ke-21” adalah sangat tepat. Cabaran zaman globalisasi mendesak warga pendidik mempertingkatkan kompetensi dalam mendidik anak bangsa dan kejayaan menjana pembelajaran yang cemerlang bermula dari kepimpinan pemimpin instruksional yang mantap. Kecemerlangan modal insan Malaysia pada masa hadapan bergantung kepada warga pendidik hari ini yang sentiasa segar disuburi ilmu dan pengetahuan terkini dari pelbagai disiplin ilmu. Ini amat penting memandangkan pemimpin instruksional telah diiktiraf sebagai golongan yang mempunyai kuasa rujuk. Penganjuran kolokium ini memantapkan lagi pembudayaan ilmu dalam kalangan komuniti pendidikan.
Saya sangat yakin, penat lelah warga kerja Institut Aminuddin Baki dalam menganjurkan kolokium ini pasti terbayar apabila perkongsian amalan-amalan terbaik dalam kalangan pemimpin sekolah dan para cerdik pandai, dapat memacu dan mempercepatkan proses pemantapan dan penambahbaikan kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran organisai pendidikan pada masa akan datang.

Akhir sekali, saya berharap agar warga Institut Aminuddin Baki terus komited dalam menjayakan kolokium sebegini pada masa akan datang. Saya juga sangat berharap agar semua yang terlibat dalam kolokium ini agar terus memberi sokongan dan komitmen yang padu demi kecemerlangan serta kualiti pendidikan di negara ini.
Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Amin bin Senin
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia






TIMBALAN PENGARAH (KHIDMAT LATIHAN)

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.

Saya amat bersyukur dan berbangga atas penganjuran Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional kali ke-12, 2018 oleh Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU). Seiring dengan meningkatnya bilangan penganjurannya, diharapkan kolokium yang sangat dikenali dalam kalangan warga pendidik ini, akan menyerlahkan kematangan kita melalui perkongsian amalan terbaik dari segi pemikiran, strategi dan tindakan, dalam memimpin bidang pendidikan negara ini ke mercu kecemerlangan.

Pemilihan tema “Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad Ke-21” jelas membuktikan kepekaan warga Institut Aminuddin Baki dalam memberi sumbangan kepada pelaksanaan dasar dan pencapaian hasrat dasar pendidikan negara. Setinggi-tinggi penghargaan turut diucapkan kepada para pembentang kertas kerja serta para peserta kolokium yang turut memainkan peranan menjadikan kolokium ini satu realiti serta mengangkat martabat bidang pendidikan di negara ini. Kehadiran para pembentang dan peserta membuktikan sokongan yang padu ditunjukkan dalam merealisasikan perkongsian ilmu dan amalan terbaik kepimpinan instruksional serta penyebaran amalan terbaik ini secara meluas. Bertitik tolak dari sini, impaknya diharapkan akan dapat melahirkan ramai pemimpin instruksional yang hebat dan berkesan.
Cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin pendidikan mutakhir ini memerlukan pemimpin pendidikan yang berketrampilan, berpengetahuan dan berwibawa. Selaku organisasi yang diberi tanggung jawab untuk melatih para pemimpin pendidikan, Institut Aminuddin Baki sedaya upaya berusaha menyediakan peluang-peluang latihan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan sekolah. Semoga perkongsian ilmu dan amalan terbaik kolokium ini akan dimanfaatkan oleh para peserta. Marilah kita bersama-sama berusaha menjadikan bidang pendidikan di negara ini sebagai bidang yang cemerlang dan membanggakan.
Sekian, Terima kasih.


Puan Mistirine Binti Radin
Timbalan Pengarah (Khidmat Latihan)
Menjalankan Tugas Pengarah
Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia 








PENGARAH IABCU

Assalamu’alaikum wbt., Salam Sejahtera

Kepimpinan Instruksional merupakan salah satu bidang kebitaraan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU). Dalam usaha mengukuhkan kebitaraan tersebut, IABCU telah melaksanakan pelbagai program yang berkaitan dengan kepimpinan instruksional termasuklah penganjuran Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional. Kolokium ini merupakan program tahunan IABCU dan telah dilaksanakan sejak tahun 2001 dengan nama asalnya Seminar Kebangsaan Kepimpinan Instruksional. Mulai tahun 2005, program ini telah dijenamakan semula dengan nama sekarang.

Sejak IABCU menganjurkan Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional ini, banyak faedah telah dapat dimanfaatkan oleh para peserta hasil perkongsian amalan terbaik yang dibentangkan oleh para pembentang.

Penganjuran Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional Kali Ke-12, 2018 pada tahun ini menyaksikan gabungan dua elemen penting bidang pendidikan iaitu Kepimpinan Instruksional dan Pembelajaran Abad ke-21. Sehubungan itu, warga IABCU bersepakat memilih ungkapan “Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad ke-21” sebagai tema kolokium pada tahun ini.

Pada tahun ini, penganjur membariskan beberapa tokoh pendidikan termasyhur dan berkaliber untuk perkongsian ilmu. Antaranya adalah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Ahmad Bajunid dan Profesor Michael James Keppel. Tokoh-tokoh ini telah lama berkecimpung dalam bidang kepimpinan pendidikan dan kepakaran mereka terbukti serta dihormati oleh warga pendidikan.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan kolokium ini. Ucapan yang sama ditujukan kepada para pembentang yang telah berusaha dalam menyampaikan pembentangan yang bermakna untuk dikongsi oleh semua peserta. Perkongsian amalan-amalan terbaik dalam bidang kepimpinan instruksional ini diharap dapat diamalkan oleh setiap pemimpin untuk mencemerlangkan organisasi masing-masing.Semoga kolokium kali ini dapat menambah dan mempertingkatkan pengalaman serta ilmu para peserta sekalian.
Selamat berkolokium.


Dr. Haji Joohari Bin Ariffin
Pengarah
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara
Merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Pengelola
Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional Ke-12, 2018






Dari Meja Urus Setia

Assalamu’alaikum wbt., Salam Sejahtera

Kejayaan melaksanakan Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional dari tahun 2001 hingga ke tahun 2015 merupakan sesuatu yang sangat membanggakan bagi IAB Cawangan Utara. Kolokium ini telah menjadi aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan. Tujuan awal kolokium ini dilaksanakan adalah untuk mengumpul semula para peserta kursus Kepimpinan Instruksional dan berkongsi amalan-amalan terbaik yang telah dilaksanakan di organisasi mereka. Selain daripada pembentang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin sekolah yang dijemput, kolokium ini juga akan menjemput tokoh-tokoh yang terlibat dalam Kepimpinan Instruksional untuk berkongsi dapatan daripada kajian dan dapat mencetus kefahaman serta percambahan ilmu tentang Kepimpinan Instruksional. Saban tahun kolokium ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan guru besar, pengetua, pegawai KPM dan pensyarah IPG serta IAB.

Kepimpinan Instuksional adalah antara bidang kebitaraan Institut Aminuddin Baki khususnya IAB Cawangan Utara. Justeru, IAB Cawangan Utara terus memainkan peranannya dalam menganjurkan kolokium ini di peringkat nasional. Kolokium ini bertujuan untuk membawa transformasi sistem pendidikan melalui perubahan paradigma pemikiran dan cara bekerja pemimpin-pemimpin sekolah berteraskan kepada Kepimpinan Instruksional. Kualiti pendidikan sekolah bergantung kepada kebolehan dan kecekapan pemimpin sekolah dalam mentransformasikan Kepimpinan Instruksional dalam melaksanakan Pembelajaran Abad Ke-21.

Sebanyak 12 kertas kerja akan dibentangkan yang meliputi satu ucap utama, dua ucap tema dan sepuluh kertas berkaitan amalan perkongsian amalan Kepimpinan Instruksional berkaitan tema kolokium tahun ini iaitu “Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad Ke-21”. Pada kesempatan ini kami mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa, para pembentang, peserta dan orang perseorangan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kolokium kali ini.
Sekian, terima kasih.