KETUA PENGARAH
PELAJARAN MALAYSIA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dengan
izin dan kurnia-Nya, perancangan menganjurkan Kolokium Kebangsaan Kepimpinan
Instruksional dapat direalisasikan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada
seluruh warga Institut Aminuddin Baki yang sangat komited dalam menjayakan
kolokium yang dianjurkan buat kali ke-12 pada tahun 2018. Ucapan penghargaan
juga saya tujukan buat semua pembentang kertas kerja atas sumbangan mereka
dalam menjadikan kolokium ini sebagai medan perkongsian pengalaman dan cetusan
idea ke arah menempa kejayaan dalam bidang pendidikan negara ini.
Sesungguhnya, tema kolokium pada kali ini iaitu,
“Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad Ke-21” adalah sangat tepat.
Cabaran zaman globalisasi mendesak warga pendidik mempertingkatkan kompetensi
dalam mendidik anak bangsa dan kejayaan menjana pembelajaran yang cemerlang
bermula dari kepimpinan pemimpin instruksional yang mantap. Kecemerlangan modal
insan Malaysia pada masa hadapan bergantung kepada warga pendidik hari ini yang
sentiasa segar disuburi ilmu dan pengetahuan terkini dari pelbagai disiplin
ilmu. Ini amat penting memandangkan pemimpin instruksional telah diiktiraf
sebagai golongan yang mempunyai kuasa rujuk. Penganjuran kolokium ini
memantapkan lagi pembudayaan ilmu dalam kalangan komuniti pendidikan.
Saya sangat yakin, penat lelah warga kerja Institut Aminuddin Baki
dalam menganjurkan kolokium ini pasti terbayar apabila perkongsian
amalan-amalan terbaik dalam kalangan pemimpin sekolah dan para cerdik pandai,
dapat memacu dan mempercepatkan proses pemantapan dan penambahbaikan
kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran organisai pendidikan pada masa akan
datang.
Akhir sekali, saya berharap agar warga Institut
Aminuddin Baki terus komited dalam menjayakan kolokium sebegini pada masa akan
datang. Saya juga sangat berharap agar semua yang terlibat dalam kolokium ini
agar terus memberi sokongan dan komitmen yang padu demi kecemerlangan serta
kualiti pendidikan di negara ini.
Sekian, terima kasih.
Datuk Dr. Amin bin Senin
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
TIMBALAN PENGARAH
(KHIDMAT LATIHAN)
Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku.
Saya amat bersyukur dan berbangga atas penganjuran
Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional kali ke-12, 2018 oleh Institut
Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU). Seiring dengan meningkatnya bilangan
penganjurannya, diharapkan kolokium yang sangat dikenali dalam kalangan warga
pendidik ini, akan menyerlahkan kematangan kita melalui perkongsian amalan
terbaik dari segi pemikiran, strategi dan tindakan, dalam memimpin bidang
pendidikan negara ini ke mercu kecemerlangan.
Pemilihan tema “Kepimpinan Instruksional Menjana
Pembelajaran Abad Ke-21” jelas membuktikan kepekaan warga Institut Aminuddin
Baki dalam memberi sumbangan kepada pelaksanaan dasar dan pencapaian hasrat
dasar pendidikan negara. Setinggi-tinggi penghargaan turut diucapkan kepada
para pembentang kertas kerja serta para peserta kolokium yang turut memainkan
peranan menjadikan kolokium ini satu realiti serta mengangkat martabat bidang
pendidikan di negara ini. Kehadiran para pembentang dan peserta membuktikan
sokongan yang padu ditunjukkan dalam merealisasikan perkongsian ilmu dan amalan
terbaik kepimpinan instruksional serta penyebaran amalan terbaik ini secara
meluas. Bertitik tolak dari sini, impaknya diharapkan akan dapat melahirkan
ramai pemimpin instruksional yang hebat dan berkesan.
Cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin pendidikan
mutakhir ini memerlukan pemimpin pendidikan yang berketrampilan, berpengetahuan
dan berwibawa. Selaku organisasi yang diberi tanggung jawab untuk melatih para
pemimpin pendidikan, Institut Aminuddin Baki sedaya upaya berusaha menyediakan
peluang-peluang latihan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan sekolah. Semoga
perkongsian ilmu dan amalan terbaik kolokium ini akan dimanfaatkan oleh para
peserta. Marilah kita bersama-sama berusaha menjadikan bidang pendidikan di
negara ini sebagai bidang yang cemerlang dan membanggakan.
Sekian, Terima kasih.
Puan Mistirine Binti Radin
Timbalan Pengarah (Khidmat Latihan)
Menjalankan Tugas Pengarah
Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia
PENGARAH IABCU
Assalamu’alaikum wbt., Salam Sejahtera
Kepimpinan Instruksional merupakan salah satu bidang
kebitaraan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU). Dalam usaha
mengukuhkan kebitaraan tersebut, IABCU telah melaksanakan pelbagai program yang
berkaitan dengan kepimpinan instruksional termasuklah penganjuran Kolokium
Kebangsaan Kepimpinan Instruksional. Kolokium ini merupakan program tahunan IABCU
dan telah dilaksanakan sejak tahun 2001 dengan nama asalnya Seminar Kebangsaan
Kepimpinan Instruksional. Mulai tahun 2005, program ini telah dijenamakan
semula dengan nama sekarang.
Sejak IABCU menganjurkan Kolokium Kebangsaan
Kepimpinan Instruksional ini, banyak faedah telah dapat dimanfaatkan oleh para
peserta hasil perkongsian amalan terbaik yang dibentangkan oleh para
pembentang.
Penganjuran Kolokium Kebangsaan Kepimpinan
Instruksional Kali Ke-12, 2018 pada tahun ini menyaksikan gabungan dua elemen penting
bidang pendidikan iaitu Kepimpinan Instruksional dan Pembelajaran Abad ke-21.
Sehubungan itu, warga IABCU bersepakat memilih ungkapan “Kepimpinan
Instruksional Menjana Pembelajaran Abad ke-21” sebagai tema kolokium pada tahun
ini.
Pada tahun ini, penganjur membariskan beberapa tokoh
pendidikan termasyhur dan berkaliber untuk perkongsian ilmu. Antaranya adalah
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Ahmad Bajunid dan Profesor Michael
James Keppel. Tokoh-tokoh ini telah lama berkecimpung dalam bidang kepimpinan
pendidikan dan kepakaran mereka terbukti serta dihormati oleh warga pendidikan.
Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah
bertungkus-lumus menjayakan kolokium ini. Ucapan yang sama ditujukan kepada
para pembentang yang telah berusaha dalam menyampaikan pembentangan yang
bermakna untuk dikongsi oleh semua peserta. Perkongsian amalan-amalan terbaik
dalam bidang kepimpinan instruksional ini diharap dapat diamalkan oleh setiap
pemimpin untuk mencemerlangkan organisasi masing-masing.Semoga kolokium kali
ini dapat menambah dan mempertingkatkan pengalaman serta ilmu para peserta
sekalian.
Selamat berkolokium.
Dr. Haji Joohari Bin Ariffin
Pengarah
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara
Merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Pengelola
Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional Ke-12, 2018
Dari Meja Urus Setia
Assalamu’alaikum wbt., Salam Sejahtera
Kejayaan melaksanakan Kolokium Kebangsaan
Kepimpinan Instruksional dari tahun 2001 hingga ke tahun 2015 merupakan
sesuatu yang sangat membanggakan bagi IAB Cawangan Utara. Kolokium ini telah
menjadi aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan. Tujuan awal kolokium ini
dilaksanakan adalah untuk mengumpul semula para peserta kursus Kepimpinan
Instruksional dan berkongsi amalan-amalan terbaik yang telah dilaksanakan di
organisasi mereka. Selain daripada pembentang yang terdiri daripada
pemimpin-pemimpin sekolah yang dijemput, kolokium ini juga akan menjemput
tokoh-tokoh yang terlibat dalam Kepimpinan Instruksional untuk berkongsi
dapatan daripada kajian dan dapat mencetus kefahaman serta percambahan ilmu
tentang Kepimpinan Instruksional. Saban tahun kolokium ini mendapat sambutan
yang menggalakkan daripada kalangan guru besar, pengetua, pegawai KPM dan
pensyarah IPG serta IAB.
Kepimpinan Instuksional adalah antara bidang
kebitaraan Institut Aminuddin Baki khususnya IAB Cawangan Utara. Justeru, IAB
Cawangan Utara terus memainkan peranannya dalam menganjurkan kolokium ini di
peringkat nasional. Kolokium ini bertujuan untuk membawa transformasi sistem
pendidikan melalui perubahan paradigma pemikiran dan cara bekerja
pemimpin-pemimpin sekolah berteraskan kepada Kepimpinan Instruksional. Kualiti
pendidikan sekolah bergantung kepada kebolehan dan kecekapan pemimpin sekolah
dalam mentransformasikan Kepimpinan Instruksional dalam melaksanakan
Pembelajaran Abad Ke-21.
Sebanyak 12 kertas kerja akan dibentangkan yang
meliputi satu ucap utama, dua ucap tema dan sepuluh kertas berkaitan amalan
perkongsian amalan Kepimpinan Instruksional berkaitan tema kolokium tahun ini
iaitu “Kepimpinan Instruksional Menjana Pembelajaran Abad Ke-21”. Pada
kesempatan ini kami mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada
semua ahli jawatankuasa, para pembentang, peserta dan orang perseorangan yang
terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kolokium kali
ini.
Sekian, terima kasih.